Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Program Kebun Dapur diperkasa, perkukuh keterjaminan makanan rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bercadang untuk memperkasa pelaksanaan Program Kebun Dapur sebagai satu inisiatif baharu bagi memperkasa keterjaminan makanan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata, konsep kebun dapur yang membabitkan aktiviti pertanian di sekitar rumah seperti menanam sayur-sayuran, tanaman buah-buahan dan penternakan kecil-kecilan mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat serta menjadikan mereka sebagai pengeluar makanan sendiri.

Jamawi ketika membuat ‘Clock In’ sebaik tiba dipejabatnya di sini petang tadi – Foto Yusof Mohammad

Menurut beliau, program itu membolehkan rakyat menanam pelbagai jenis tanaman bagi kegunaan dapur harian di samping menanam tanaman berpotensi tinggi seperti durian, avokado dan nangka madu sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Saya ingin kemukakan satu cadangan jika ianya tidak menyalahi apa polisi kerajaan mungkin kita boleh mulakan konsep kebun dapur. Kebun dapur ini adalah untuk rakyat berkebun di keliling rumah, menanam pelbagai tanaman yang boleh menjadikan hasil untuk dapur sendiri.

“Di samping itu, kita juga bekalkan dengan tanaman buah-buahan berpotensi tinggi. Kalau kita ingin galakkan ramai orang menanam, saya ingat satu masa nanti kita akan jadi pengeluar durian ataupun avokado ataupun nangka madu yang terbesar di Sabah.

“Ia dengan hanya kita mewujudkan pusat-pusat pengumpulan daripada kebun-kebun yang dihasilkan daripada kebun dapur,” katanya ketika ditemui selepas melakukan sesi ‘Clock In’ di pejabatnya di sini pada Rabu.

Jamawi berkata, idea kebun dapur itu diperoleh hasil lawatan ke Thailand yang berjaya mengaplikasikan konsep pertanian skala kecil berasaskan komuniti bagi meningkatkan ekonomi rakyat.

Dalam usaha memastikan kejayaan program itu, beliau mencadangkan agar pusat semaian Jabatan Pertanian, pusat semaian Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS)  serta pusat semaian lain diperkasakan bagi menghasilkan benih berkualiti pada harga yang lebih murah untuk diagihkan kepada rakyat.

Katanya, ramai masyarakat luar bandar tidak mempunyai modal besar untuk mengusahakan ladang berskala besar, namun melalui kebun dapur, mereka masih mampu menyumbang kepada pengeluaran makanan negeri.

Selain tanaman, beliau turut mencadangkan penternakan kecil-kecilan di sekitar rumah seperti ikan tilapia di kolam kecil, ternakan ayam telur, ayam kampung serta kambing sebagai sumber protein dan pendapatan isi rumah.

“Konsep ini bukan sahaja membantu dari segi ekonomi, malah mampu merapatkan hubungan kekeluargaan kerana ia boleh dilaksanakan bersama ahli keluarga pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program itu bergantung kepada keupayaan peruntukan kementerian, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan menggunakan peruntukan khas menteri bagi melaksanakan projek perintis (pilot project) di beberapa lokasi terpilih dalam tempoh terdekat.

“Yang penting kita mula dahulu supaya rakyat dapat melihat impaknya. Bila hasilnya jelas, program ini boleh diperluaskan ke lebih banyak kawasan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE