Read Time:1 Minute, 17 Second
Oleh Raul G
Tuaran: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 60 peratus pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata unjuran itu dibuat berdasarkan peratusan keluar mengundi pada PRN lepas serta jumlah undi awal yang telah dijalankan pada Selasa.
Namun, beliau menjelaskan bahawa keadaan cuaca yang tidak menentu, kemungkinan akan terdapat kesan yang mengubah jumlah peratusan keluar mengundi berkenaan.
“Kita jangkakan mungkin akan ada kesan dari segi peratusan keluar mengundi kerana mungkin pengundi kita agak sukar untuk keluar rumah dan berdasarkan kepada peraturan yang ada, tiada tambahan masa diberi.
“Bagaimanapun, dalam keadaan yang terlalu serius, SPR boleh mengambil tindakan untuk menunda atau menangguhkan pilihan raya berdasarkan kepada keadaan.
“Ia (Penangguhan) merujuk kepada laporan yang kita terima daripada pihak Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Sesi Lawatan Semakan Peti Undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Seri Sulaman, Tuaran, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata antara bentuk penangguhan pilihan raya itu terdapat hampir seluruh kawasan ditenggelami air dan berlakunya tanah runtuh yang serius sehingga mendatangkan risiko.
Beliau turut memaklumkan, SPR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi segala kemungkinan yang berlaku melibatkan bencana.
“SPR akan bertindak berdasarkan kepada maklumat yang kita terima daripada Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dipengerusikan oleh pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT),
“Kita akan sentiasa ‘alert’ (berjaga-jaga) dengan cuaca yang tidak menentu dan kita ada adakan mesyuarat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) . – SABAH MEDIA






