Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Szu Ching yakin bandar Sandakan dapat dipulihkan


Read Time:1 Minute, 9 Second

SANDAKAN: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat, Tang Szu Ching yakin daerah ini mempunyai potensi besar untuk dipulihkan dan diperkasakan sekiranya proses pembaharuan dilaksanakan secara konsisten serta dipimpin oleh wakil rakyat yang bertanggungjawab.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, usaha itu memerlukan komitmen dan tindakan berterusan, bukan sekadar menyediakan pelan jangka pendek.

Katanya, sejak dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), beliau sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan itu bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu bandar Sandakan daripada menjadi bandar mati.

“Selain cabaran menguruskan bandar ini, pendekatan perlu diambil bagi memulihkan keadaan Sandakan secara berperingkat.

“Ini sudah pasti memerlukan pemimpin yang tekun, berdedikasi dan sentiasa mempunyai idea baharu,” katanya dalam program Makan Malam Pakatan Harapan, di sini.

Szu Ching turut menekankan bahawa aspek kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaannya jika diberi mandat oleh rakyat.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pasukan Ahli Parlimen Sandakan, beliau tidak pernah berhenti memberikan perkhidmatan meskipun berdepan kritikan daripada pelbagai pihak.

“Saya memilih untuk tampil ke hadapan menyelesaikan masalah daripada mengelak tanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai krisis air sebelum ini, Szu Ching berkata, pasukannya konsisten turun padang mengagihkan bekalan air kecemasan kepada penduduk.

Katanya, biarpun bukan penyelesaian jangka panjang, langkah itu dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat.

Di akhir ucapannya, Szu Ching menyeru pengundi Tanjung Papat memberikan sokongan kepadanya supaya beliau dapat meneruskan tugas memperjuangkan suara rakyat di DUN serta membina masa depan Tanjung Papat yang lebih baik.

LEAVE A RESPONSE