Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Penurunan kuasa projek RM50 Juta bukti Komitmen PM terhadap MA63 – Armizan


Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Penurunan kuasa melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah kepada Sabah dan Sarawak membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau menjelaskan bahawa di awal pentadbiran Kerajaan Madani, beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap urusetia MA63 telah membentangkan Nota Jemaah Menteri pada 21 Disember 2022, yang menyenaraikan isu-isu tertunggak berkaitan MA63, dan penurunan kuasa projek merupakan salah satu daripadanya.

Menurut Armizan, Kementerian Kewangan Malaysia yang dipimpin oleh Anwar sendiri memberikan respons positif dengan mencadangkan penurunan kuasa persekutuan kepada Sabah dan Sarawak untuk projek-projek bernilai RM30 juta ke bawah.

“Pada masa itu, saya sendiri mencadangkan supaya nilai tersebut dinaikkan kepada jumlah RM50 juta atas alasan jumlah RM30 juta adalah bersamaan dengan jumlah projek-projek yang di bawah bidang kuasa sedia ada Pejabat Perbendaharaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak iaitu PMS.

“Sekiranya sekadar jumlah sama, persepsi seolah-olah hanya dipindahkan kuasa PMS kepada Kerajaan Negeri. Kita mahu impak penurunan kuasa yang lebih signifikan,” katanya dalam dalam video dikongsikan di laman Facebooknya hari ini.

Armizan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2023 telah meluluskan syor Kementerian Kewangan untuk memberikan pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Langkah ini melayakkan agensi-agensi negeri melaksanakan keseluruhan proses, termasuk perolehan, projek-projek persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah.

“Inilah fakta sebenar…. penurunan kuasa ini adalah syor yang terkandung dalam platform MA63 sedia ada. Paling penting tidak ada mana-mana Perdana Menteri atau Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersedia untuk melepaskan kuasa berkaitan projek kepada negeri.

“Namun, ini adalah komitmen Anwar yang meluluskan dan melaksanakan syor tersebut hanya dalam tempoh satu bulan pentadbiran beliau.

“Semuanya atas komitmen terhadap MA63. Kalau Perdana Menteri orang lain, saya tidak fikir syor ini akan dipenuhi,” katanya.

LEAVE A RESPONSE