Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Siasatan mesti dibuat tanpa kira kedudukan — “Kalau pegawai saya sendiri salah, tetap disiasat” – PMX

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata (pix Yusof Mohamad)

MEROTAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinan beliau tidak akan berkompromi dalam soal integriti, dengan menekankan bahawa siasatan terhadap sebarang salah laku mesti dilakukan tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Berucap pada Program Ceramah Perdana di DUN Merotai Besar, Anwar berkata, pentadbiran Malaysia Madani tidak mengamalkan budaya ‘cover up’, sebaliknya mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Saya tak kata kita ini semua sempurna… tapi kalau ada masalah, mesti tegas.
Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan ada setiausaha politik saya didakwa. Saya kata terus siasat. Saya tak peduli siapa,” tegasnya.

Beliau berkata, prinsip itu penting untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan kekal kukuh, sambil mengingatkan bahawa seseorang tidak boleh dihukum sebelum siasatan dijalankan.

“Jangan hukum dulu, siasat dahulu. Kita tak boleh kawal semua orang, tetapi kita mesti ikut undang-undang dan peraturan,” katanya.

Anwar turut menyindir pemimpin terdahulu yang menurutnya menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan dan melindungi kesalahan orang dekat mereka.

“Kalau saya ada kuasa, saya guna untuk rakyat. Kalau ada salah guna kuasa siapa sekalipun, Tan Sri, Datuk, pegawai saya sendiri, kalau salah mesti disiasat. Baru negara selamat.” jelasnya.

Dalam ucapannya, Anwar menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bertanding 20 kerusi di Sabah bukan untuk mengejar jawatan Ketua Menteri, tetapi bagi memastikan hubungan negeri–Persekutuan berjalan baik.

Beliau menegaskan suara PH di Dewan Undangan Negeri penting bagi memastikan projek jalan raya, urus tadbir, dan program pembangunan lain mencapai sasaran.

Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan terhadap pembangunan Sabah, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada negeri, pertama kali dalam sejarah, komitmen menyelesaikan masalah air menjelang 2026; kelulusan RM10 bilion untuk projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak, pembinaan sekolah dan maktab perguruan baharu selepas isu banjir dan hakisan dikenal pasti,kerajaan Persekutuan menanggung RM1.2 bilion bagi pengambilalihan aset elektrik Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah tidak harus ketinggalan puluhan tahun lagi dan berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri serta Pusat dapat diperkukuh.

Beliau berkata, kerajaan Madani adalah yang pertama dalam sejarah membuat pengumuman rasmi di Kabinet dan Parlimen untuk melaksanakan pemberian 40 pehasil Persekutuan kepada Sabah.

“Ada yang cakap janji sahaja… tapi kita yang laksanakan. Belum ada kerajaan lain buat pengumuman terang seperti ini.”

Menjelang pengundian pada Sabtu ini, Anwar mengajak pengundi menilai rekod kerja dan integriti calon (PH), termasuk Datuk Ruji Ubi yang mempunyai pengalaman luas di peringkat Persekutuan.

“Saya tak mahu janji bulan dan bintang. Kita semua ada tanggungjawab. Jika rekod kerja itu baik, kita beri peluang.” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE