Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Guru dedah hanya satu kes buli dalam pengetahuannya

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa hanya satu kes buli pernah diketahuinya sepanjang bertugas di SMKA Tun Mustapha, dan kejadian itu melibatkan pelajar di asrama Putera.

Addorie Francis, 25, berkata insiden tersebut adalah satu-satunya maklumat berkaitan buli yang pernah dimaklumkan kepadanya sepanjang berkhidmat sebagai guru dan guru asrama.

“Sepanjang saya bertugas, hanya satu isu buli yang saya tahu,” katanya ketika membaca kenyataan saksi pagi tadi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi ke-45 inkues kematian Zara Qairina menjelaskan lebih lanjut kes buli tersebut ketika ditanya oleh Pegawai Pengendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.

Pegawai Pengendali: Apa kes buli yang kamu ketahui?
Saksi: Kes buli melibatkan pelajar Putera.

Pegawai Pengendali: Kamu tahu macam mana ceritanya?
Saksi: Tidak tahu secara terperinci tapi yang saya tahu tindakan gantung sekolah sudah dikeluarkan.

Terdahulu dalam kenyataan saksinya, Addorie, seorang guru sains dan matematik di SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut, sejak 13 Februari 2025, berkata beliau mengenali Zara sebagai muridnya dari Februari hingga 8 Julai 2025.

“Saya tidak pernah mendengar Zara Qairina mengadu tentang masalah persendirian atau konflik dengan sesiapa dan Zara juga tidak pernah mengadu kepada saya tentang apa-apa gangguan seperti buli, tekanan pelajaran dan keletihan,” katanya yang merupakan guru lantikan kontrak interim.

Addorie, memberitahu Mahkamah bahawa tugasan beliau berkaitan asrama adalah sebagai guru asrama dan bukan warden.

“Saya diberi tugas sebagai guru asrama, bukan warden asrama. Tugas saya sebagai guru asrama adalah sebagai pembantu warden dalam pemantauan kebersihan dorm, mengurus pelajar yang sakit dan memantau kelas berfokus malam atau prep malam,” jelasnya.

Dalam kenyataan saksinya, Addorie berkata dia bukan guru asrama yang bertugas pada 16 Julai 2025, hari Zara ditemui tidak sedarkan diri di asrama.

“Pada 16 Julai 2025, saya pada mulanya tidak tahu Zara Qairina terjatuh dari bangunan asrama puteri. Saya hanya dihubungi oleh seorang warden yang memaklumkan bahawa ada pelajar jatuh pada pagi hari tersebut.

“Warden tersebut mahu saya menjaga rakan satu dorm dengan mangsa tetapi saya tidak dapat menjalankan tugasan tersebut kerana saya perlu bertugas di luar sekolah dan guru asrama yang bertugas pada hari itu dihubungi untuk menjalankan tugasan tersebut,” katanya.

Addorie turut menjelaskan, pada 15 Julai 2025, beliau melakukan rondaan ketika prep malam manakala jam 6 pagi hingga 5 beliau bertugas di luar sekolah untuk mengiringi pelajar ke pertandingan Gami-code di Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu.

“Program itu berlangsung selama dua hari, sehingga 16 Julai 2025. Selepas masa prep tamat, saya berada di kuarters guru,” katanya.

LEAVE A RESPONSE