Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pelbagai pengisian menarik sepanjang RTK 2026


Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pelbagai aktiviti budaya dan komuniti bakal memeriahkan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Negeri Sabah 2026 sepanjang sambutan Kaamatan tahun ini.

Perjalanan program RTK 2026 bermula secara rasmi menerusi sesi pendaftaran peringkat negeri pada Sabtu sebelum diteruskan dengan penggambaran khas melibatkan 50 peserta akhir bagi penghasilan video iklan pendek Kaamatan, kelmarin.

Pengerusi RTK, Casey Jovial berkata, penggambaran tersebut merupakan usaha memperkenalkan peserta kepada masyarakat serta memperkukuhkan penjenamaan RTK dengan pendekatan lebih moden dan kreatif.

Seterusnya, Perkampungan Budaya RTK yang akan berlangsung dari 19 hingga 24 Mei akan menghimpunkan pelbagai aktiviti budaya, komuniti dan pembangunan peserta.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk lawatan rasmi ke lokasi penaja dan rakan kolaborasi serta pertandingan MasterChef di KDCA melibatkan lima rumah tradisi terpilih,” katanya.

Pada 22 Mei pula, acara A Night of Cultural Fashion akan berlangsung di Hilton Kota Kinabalu yang bakal mengetengahkan gabungan elemen fesyen, budaya dan kreativiti anak Sabah dalam sebuah persembahan yang lebih eksklusif dan moden.

“Bagi pertandingan tersebut, tahun ini kami membawa tema “Perhotelan”, di mana setiap pereka perlu menghasilkan busana yang menggabungkan elemen hospitaliti moden bersama identiti kebudayaan Sabah.

“Melalui pendekatan ini, kami mahu memperlihatkan bahawa fesyen budaya juga mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke tahap komersial dan industri professional,” katanya.

Selain itu, orang ramai turut dijemput menghadiri Showcase RTK yang akan berlangsung secara percuma di Imago Shopping Mall pada 23 Mei.

Menurut Casey, showcase tersebut menjadi platform untuk mendekatkan RTK dengan masyarakat menerusi persembahan khas, penampilan peserta serta pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Pertandingan akhir RTK Sabah 2026 pula akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, yang bakal menyaksikan pemilihan juara baharu RTK Negeri Sabah tahun ini.

“Kami mahu para pemenang bukan sekadar menjadi juara di atas pentas, tetapi juga menjadi duta budaya dan wajah kepada generasi muda yang mencintai warisan Sabah.

“Kami berharap RTK Negeri Sabah 2026 akan terus menjadi sebuah platform yang mampu mengangkat budaya Sabah ke tahap yang lebih tinggi, melahirkan bakat-bakat baharu serta memperkukuhkan identiti budaya untuk generasi akan datang,” katanya.

LEAVE A RESPONSE