Read Time:1 Minute, 30 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang guru asrama tidak dapat mengingati hampir semua butiran mesyuarat yang diadakan oleh pihak pentadbiran sekolah selepas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Dalam sesi soal jawab dengan peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, saksi ke-45, Addorie Francis, berulang kali menjawab “tidak ingat” atau “tidak” untuk hampir semua soalan berkaitan mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengetua sekolah.
Peguam: Adakah pihak pentadbiran sekolah membuat mesyuarat selepas kejadian Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Pihak pentadbiran sekolah ada buat mesyuarat untuk menjelaskan apa yang terjadi, itu sajalah.
Peguam: siapa yang menghadiri mesyuarat tersebut?
Saksi: Saya tidak ingat
Peguam: Seingat kamu bila mesyuarat itu diadakan?
Saksi: Saya tidak ingat
Peguam: Siapa yang mempengerusikan mesyuarat tersebut?
Saksi: Pengetua sekolah
Peguam: Adakah Pengetua sekolah orang yang bertangungjawab menjelaskan apa yg terjadi di dalam mesyuarat itu?
Saksi: Ya
Peguam: Apa yang disampaikan atau dijelaskan oleh pengetua dalam mesyuarat tersebut?
Saksi: Saya tidak ingat
Peguam: Berapa lama mesyuarat itu berlangsung?
Saksi: Saya tidak ingat
Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan bagaimana Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Tidak.
Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan apa yang berlaku sebelum Zara dijumpai di bawah asrama
Saksi: Tidak.
Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan apa yang berlaku setelah Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Yang saya ingat dia beri tahu keadaan Zara di hospital
Peguam: Selain pengetua beri tahu keadan Zara di hospital, apa lagi yang pengetua sampaikan dalam mesyuarat itu?
Saksi: Saya tidak ingat
Ketika ditanya apa yang berlaku dikalangan cikgu sekolah selepas kejadian Zara dijumpai di aras bawah asrama, Addorie berkata: “Masing-masing terkejut”.
Menjawab soalan lain, saksi turut mengatakan beliau tidak tahu apa yang berlaku kepada pelajar dorm Zara yang ditempatkan di bilik isolasi, dan tidak pasti siapa guru lain yang mengetahui perkara itu.
Inkues bersambung esok.






