Read Time:3 Minute, 21 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
KOTA KINABALU, — Usaha kerajaan dalam memperkukuh bekalan tenaga elektrik di Sabah kini mula menunjukkan hasil nyata. Ini menandakan peralihan daripada perancangan dasar kepada pelaksanaan sebenar di lapangan berjalan seperti yang dirancang.
Menurut data pembangunan infrastruktur negeri, sektor pembinaan Sabah pada tahun 2024 merekodkan pertumbuhan ketiga tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 18.8 peratus. Pertumbuhan ini didorong pelaksanaan projek tenaga, utiliti dan rangkaian penghubung di seluruh negeri.
Antara pencapaian utama ialah pengoperasian Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) yang berkapasiti 100MWj di Lahad Datu. Ia adalah sistem pertama seumpamanya di Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara. Sistem berkapasiti simpanan 400MWj itu meningkatkan kestabilan bekalan elektrik terutamanya di Pantai Timur Sabah.
Selain itu, tujuh projek tenaga bernilai lebih RM260 juta telah siap di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberi manfaat kepada lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Labuan.
Sehingga Februari 2025, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah meluluskan projek penjanaan baharu yang berkapasiti hampir 1,000MW. Ini termasuk 15 projek Solar Berskala Besar (LSS) yang berkapasiti iaitu 8 projek berkapasiti 113MW yang dilaksanakan di Pantai Barat, manakala 7 projek berkapasiti 86MW di Pantai Timur. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.
Manakala menjelang 2027, tenaga solar dijangka boleh menyumbang sekurang-kurangnya 350MW atau 23 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan negeri. Ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api bersubsidi serta meningkatkan ketahanan sistem tenaga Sabah.
Menerusi pelaksanaan projek ini, ia pastinya akan meningkatkan margin simpanan tenaga daripada 10 peratus pada 2023 kepada 17 peratus kini, malah dijangka mencapai 30 peratus menjelang akhir 2025.
Manakala Prestasi Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) juga menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh dua tahun, daripada 363 minit pada Jun 2023 kepada 162 minit pada Jun 2025), iaitu pengurangan yang signifikan, iaitu 55 peratus.
“Ini bukan lagi peringkat janji. Infrastruktur tenaga kini bergerak di tapak, beroperasi dan memberi kesan langsung kepada pengguna.
Bekalan Air: Peningkatan Kapasiti & Pengurangan NRW
Dalam tempoh 2021 hingga 2024, kapasiti pengeluaran air terawat Sabah meningkat daripada 1,505 juta liter sehari kepada 1,630 juta liter sehari. Pada masa sama, kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) berjaya diturunkan daripada 60 peratus kepada 52 peratus. Terdapat 18 projek bekalan air yang sedang dilaksanakan, antaranya:
• Loji Rawatan Air Kogopon di Papar (RM365 juta) — dijangka siap 2026
• Projek Empangan Air Cinta Mata, Tawau (RM300 juta) — dijangka siap 2027
• Projek hidroelektrik Ulu Padas — dijangka siap 2030
Pengangkutan: Jalan Raya & Pan Borneo
Sepanjang 2021–2024, hampir 1,000 kilometer jalan baharu telah disiapkan melibatkan jalan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A (318km) kini mencapai pelaksanaan 84.2 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027, manakala Fasa 1B dijangka siap Oktober 2028.
Selain itu, infrastruktur pengangkutan di Sabah telah berjaya di tambah-baik. Mutu, rangkaian dan keterhubungan pengangkutan yang lebih baik serta menyeluruh membolehkan perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selesa bagi rakyat, pelancong dan aktiviti komersil.
Sebagai destinasi utama pelancongan negara, Sabah menyasarkan kehadiran 3.7 juta pelancong pada 2026 dengan jangkaan perbelanjaan sekitar RM9.1 bilion.
• Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang dinaik taraf bernilai RM442.3 juta, meningkatkan kapasiti terminal daripada 9 juta kepada 12 juta penumpang setahun menjelang 2027.
• Lapangan Terbang Tawau turut dinaik taraf bernilai RM120.9 juta, meningkatkan kapasiti kepada 2.5 juta penumpang menjelang 2028.
Dalam tempoh masa beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Sabah telah dapat merancakkan pembangunan infrastruktur di Sabah, hasil daripada tekad yang tinggi, perancangan dan pelaksanaan yang fokus, serta kerjasama baik dengan Kerajaan Malaysia.
Pembangunan tenaga, air, jalan dan lapangan terbang menunjukkan pelaksanaan yang konsisten dan berterusan. Walaupun masih terdapat isu legasi yang perlu diselesaikan, hala tuju semasa memperlihatkan kesinambungan di peringkat dasar dan operasi.
Banyak projek pembangunan infrastruktur telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pastinya masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk menyelesaikan pelbagai isu legasi yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Sebaik-baiknya, kesinambungan momentum serta perancangan sediada di kekalkan bagi kemampanan dan kecemerlangan masa depan Sabah.






