KOTA BELUD: Mantan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan memberitahu bahawa beliau sudah menghantar surat perletakan jawatan kepada parti itu, petang Jumaat (14 Nov).
“Saya sudah hantar surat letak jawatan bagi jawatan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah kelmarin. Pejabat sudah menerima surat perletakan jawatan saya pada pukul 2.45 petang,” katanya mellaui kenyataan media hari ini.
Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi terdahulu mengeluarkan kenyataan pagi tadi bahawa ahli parti yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.
Pagi tadi, Fairuz hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak dengan borang penamaan calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan bersama ribuan penyokong yang memakai baju t-shirt hitam sambil melaungkan sorakan ‘Kita Lawan’.
Fairuz yang juga merupakan penyandang kerusi DUN itu selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Sabah ke-16, pada tahun 2020, dengan undian majoriti 84 undi, menewaskan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau bertanding atas tiket bebas selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekaligus parti itu memberi laluan kepada Pandikar sebagai calon bagi DUN tersebut.







