Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lebih 3,400 set borang penamaan dijual, SPR pastikan semua PPC berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PUTATAN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjual lebih 3,000 set borang penamaan calon di seluruh Sabah sehingga hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, borang yang dijual adalah melalui Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sabah dan Pegawai Pengurus (RO) di kawasan masing-masing.

“Setakat ini kita telah menjual lebih daripada 3,000 borang, bagaimanapun saya tidak dapat jumlah spesifik.

“Saya difahamkan 3,400 lebih borang telah pun dijual di seluruh pejabat-pejabat kita dan juga melalui RO.  Jumlah itu adalah sehingga sekarang (hari ini),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Sri Putatan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ramlan berkata semua persiapan untuk proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah telah selesai sepenuhnya.

Katanya, raptai proses penamaan calon berjalan lancar di seluruh negeri, merangkumi 73 DUN dan 25 Parlimen. 

“Beberapa PPC telah saya  tinjau beberapa hari lepas, termasuk di Kudat, Tenom, dan Sipitang, bagi memastikan setiap lokasi bersedia dari segi kemudahan logistik dan akses internet.

“Selain itu, semua RO telah diberikan latihan menyeluruh untuk memastikan proses penamaan calon dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. 

“SPR menekankan bahawa setiap pusat penamaan calon telah dilengkapi kemudahan yang diperlukan untuk menyokong kelancaran proses tersebut,” katanya.

Proses penamaan calon dijadualkan bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi di semua pusat penamaan calon esok. 

SPR menggesa semua pihak untuk memastikan kelancaran proses dan berdoa agar ia berjalan dengan sempurna. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE