Read Time:3 Minute, 5 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus merupakan perkembangan yang dialu-alukan, namun harus diterima dengan berhati-hati, kata bekas Presiden Persatuan Guaman Sabah (SLS), Datuk Roger Chin.
Menurut Roger keputusan itu menandakan langkah penting ke hadapan yang menunjukkan bahawa Putrajaya kini mengiktiraf hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas 40 peratus, iaitu satu jaminan yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia.
Namun demikian, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk merayu sebahagian daripada alasan penghakiman tersebut bermakna implikasi penuh keputusan itu masih perlu diperhatikan dengan teliti, khususnya kerana ia boleh memberi kesan terhadap cara ketidakpatuhan dan tunggakan lampau ditangani.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa (11 November) Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu terhadap pengiktirafan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus Sabah. Namun, ia bercadang untuk memfailkan rayuan berhubung kelemahan dalam alasan penghakiman terutamanya mengenai penemuan berlakunya penyalahgunaan kuasa serta isu berkaitan perintah semakan (review orders).
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan dimulakan segera bagi melaksanakan proses semakan perlembagaan di bawah Perkara 112D.
Roger menjelaskan bahawa selagi Notis Rayuan masih belum difailkan, selagi itulah asas sebenar rayuan tidak dapat dipastikan.
Berdasarkan maklumat sedia ada, rayuan yang dimaksudkan dijangka tertumpu kepada dua perkara utama.
Pertama, perisytiharan mahkamah bahawa kedua-dua kerajaan (Persekutuan dan Negeri) telah bertindak secara tidak sah dengan melakukan penyalahgunaan kuasa, ketidakrasionalan, kecacatan tatacara serta ketidakseimbangan kerana gagal melaksanakan semakan perlembagaan yang sewajarnya sejak 1974; dan kedua, penemuan mahkamah bahawa Perintah Semakan Kedua, Ketiga dan Keempat di bawah Perkara 112D adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak perlembagaan bagi semakan kewangan yang sah dan berkala.
“Jika rayuan tersebut benar-benar terhad kepada bahagian-bahagian ini sahaja, maka bahagian utama keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil dan mengarahkan kedua-dua kerajaan melaksanakan semakan serta pelaksanaannya tetap sah dan boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Roger berkata, secara praktikalnya, hak 40 peratus itu tidak tertakluk kepada rayuan.
“Rayuan tersebut tidak menggantung pelaksanaan geran 40 peratus atau kewajipan untuk memulakan rundingan. Apa yang berkemungkinan akan diteliti semula hanyalah alasan penghakiman berhubung kesalahan dan kesahan mekanisme semakan, setelah Notis Rayuan difailkan,” katanya.
Namun, Roger berkata sekiranya mahkamah rayuan membatalkan satu atau kedua-dua penemuan tersebut iaitu berhubung penyalahgunaan kuasa dan pembatalan Perintah Semakan Kedua, Ketiga dan Keempat ia boleh memberi kesan kepada cara Mahkamah Tinggi menilai tempoh yang digelar “lost years” (1974–2021).
“Jika perintah semakan itu dipulihkan sebagai sah, ia boleh dianggap telah mengubah secara sah hak 40 peratus tersebut, sekali gus menutup jurang perlembagaan dan tunggakan bagi “lost years” mungkin tidak lagi perlu dibayar.
“Begitu juga, jika mahkamah rayuan mengetepikan perisytiharan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah kerana gagal menjalankan semakan perlembagaan dengan Kerajaan Negeri Sabah, maka penemuan undang-undang berhubung kesalahan itu boleh terbatal,” katanya.
Menurut Roger, kelewatan dalam menjalankan semakan itu kemudiannya boleh dianggap sebagai kecuaian pentadbiran semata-mata dan bukan pelanggaran perlembagaan, menjadikan tunggakan bagi “lost years” isu yang perlu dirunding, bukan satu hak yang ditetapkan oleh mahkamah.
Beliau menambah bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan serta-merta menunjukkan kesediaannya mematuhi perintah mandamus Mahkamah Tinggi bagi melaksanakan semakan yang sah dan tepat pada masanya di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah masa yang menuntut ketelusan, komitmen dan keadilan perlembagaan.
“Walaupun penerimaan Kerajaan Persekutuan terhadap hak 40 peratus Sabah merupakan langkah ke arah yang betul, ia perlu diterima dengan berhati-hati.
“Notis Rayuan yang akan difailkan dan cara ia dikendalikan akan menentukan sama ada komitmen ini benar-benar tulus serta sama ada janji perlembagaan kepada Sabah akhirnya akan ditunaikan sepenuhnya, bukan sekadar pada kata-kata,” katanya.






