Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kerajaan Negeri Peruntuk RM136 Juta Untuk BKNS Tahun Ini – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan tinggi menerusi pelbagai inisiatif bersasar, termasuk peruntukan tertinggi setakat ini berjumlah RM136 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan ketara daripada RM50 juta pada tahun 2020 kepada RM136 juta tahun ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua anak Sabah, tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing. Kita tidak mahu anak Sabah tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” katanya pada Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.

Hajiji berkata, seramai 4,170 pelajar bakal menerima manfaat tajaan BKNS tahun ini, sejajar dengan matlamat dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai tunjang kemajuan negeri.

Pro-Canselor UMS itu berkata, pada tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM77.5 juta untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada sekolah-sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.

Katanya, antara inisiatif utama termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY).

Menurutnya, Yayasan Sabah turut memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan apabila memperuntukkan RM67.17 juta pada tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.

Katanya, melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pula, perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta disalurkan dalam tempoh lima tahun melalui Bahagian Zakat dan Fitrah, membantu lebih 48,000 pelajar dari seluruh negeri.

Hajiji berkata, bagi memastikan kesinambungan sokongan pendidikan, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diperkenalkan pada Jun 2022 telah memberi manfaat kepada hampir 10,104 penerima, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM15.8 juta sehingga kini.

Beliau berkata, bantuan SENTOSA yang dilancarkan pada Mac lalu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, membabitkan peruntukan RM6 juta dan menyasarkan kira-kira 20,000 pelajar bumiputera Sabah yang menuntut di IPT dalam negeri.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk keperluan asas atau pulang ke kampung halaman. Ia juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar yang tersisih daripada arus pendidikan,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Hajiji menyampaikan bantuan SENTOSA secara tunai one-off sebanyak RM300 seorang kepada lebih 600 pelajar, membabitkan 319 pelajar UMS dan 323 pelajar Kolej MAHSA Sabah yang masih belum menerima bantuan berkenaan sebelum ini.

“Saya berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya segala bentuk bantuan yang disediakan dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan negeri dan negara,” katanya.

LEAVE A RESPONSE