Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerjasama Sabah – Persekutuan penting untuk dikekalkan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh Rhea Dharmin

BONGAWAN: Kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah penting untuk terus dikekalkan kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerjasama terbabit sejajar dengan peranan Persekutuan dalam pentadbiran negara.

“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana dia mentadbir negara, negara ini adalah negara kita.

“Walau apapun kita pertahan hak negeri, kita harus pertahankan juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan bertempat di Dewan Serbaguna Bongawan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji mendedahkan sekitar setengah juta anak Sabah dibantu menerusi peruntukan untuk pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.

Katanya, jumlah yang menerima manfaat itu adalah yang terbesar berbanding kerajaan sebelum ini berikutan kejayaan pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri.

“Dalam bidang pendidikan sebanyak RM1.3 bilion dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini, 500,000 anak Sabah kita bantu dalam tempoh itu.

“Biasiswa dulu hanya RM40 hingga RM50 juta setahun, tapi sekarang kita luluskan RM145 juta.

“Peningkatan ini disebabkan kita berjaya mentadbir negeri dan meningkatkan hasil. Dulu kutipan hasil hanya RM4 hingga RM5 bilion saja setahun, tapi sekarang mencecah RM7.5 bilion. Ini yang kita kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut membidas tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan hanya membuat pengumuman, tapi hasilnya tidak dapat dirasai.

“Memanglah mereka tidak rasa kerana manfaat itu hanya dirasai rakyat. Walaupun tidak semua yang dapat dibantu, tapi kita dapat bantu paling ramai.

“Jadi, rugi kita kalau GRS tidak dikasi menang .. kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah, jangan sekali-kali terpedaya dengan retorik pembangkang.

“Mereka (pembangkang) cakap berapi-api macam jual ubat, mundar-mandir, pusing-pusing, tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan kerajaan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE