KOTA KINABALU: Persidangan DUN Sabah hari ini menyaksikan pertikaman lidah antara Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe dan ADUN Warisan Elopura, Calvin Chong berhubung isu pelaburan Esteel di Sipitang yang dikaitkan dengan peningkatan kos.
Phoong mendakwa Calvin mempolitikkan isu berkenaan dengan membuat kenyataan media dan laporan polis, tanpa mengemukakan sebarang soalan rasmi dalam Dewan.
“Kenapa perlu dipolitikkan pelaburan ini? Dalam Dewan, tiada soalan lisan atau bertulis dari beliau,” katanya.
Calvin membalas bahawa beliau hanya menyuarakan kebimbangan rakyat yang mahukan jawapan, dan menegaskan beliau ada menyediakan soalan.
“Saya wakil rakyat, rakyat mahu tahu. Apa salah saya?” ujarnya.
Ketegangan memuncak hingga mencetuskan gangguan prosiding, sebelum Speaker Datuk Seri Kadzim Yahya campur tangan dan mempersilakan ADUN lantikan Datuk Aminah Yassin untuk meneruskan sesi.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Shafie Apdal turut mencadangkan agar soalan tambahan dibenarkan demi ketelusan, namun Speaker kekal dengan keputusannya.
“Saya tahu YB berani tanya, tapi saya sudah buat keputusan,” kata Kadzim kepada Calvin.