Read Time:1 Minute, 3 Second
KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan dua batu nautika timur laut Tanjung Tajau Laut.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kapal tersebut ditahan oleh aset rondaan Maritim Malaysia hasil pemantauan rutin di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh 16 orang kru lelaki termasuk seorang kapten kapal warganegara Vietnam.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh daripada pihak berkuasa pelabuhan.

“Kes disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, kerana bersauh di perairan negeri tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, dua kru kapal termasuk kapten telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara.
Beliau turut menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan mendapatkan kebenaran sewajarnya sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Sabah.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA






