Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

AJ Productions Syarikat Produksi Pertama Di Sabah Peroleh Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak & Orang Muda – Sabah News

KOTA KINABALU, 4 Oktober – AJ Productions Sdn Bhd mencatat sejarah apabila menjadi syarikat produksi pertama di Sabah yang berjaya memperoleh Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.

Kejayaan ini menandakan komitmen syarikat untuk memartabatkan hak serta kebajikan bakat muda yang terlibat dalam industri kreatif tempatan, di samping mematuhi sepenuhnya kehendak undang-undang buruh negeri.

Lesen tersebut merupakan keperluan mandatori di bawah subseksyen 73D(1) Ordinan Buruh Sabah Bab 67, yang mewajibkan mana-mana majikan mendapatkan kebenaran JTK Sabah sebelum mengambil kanak-kanak atau orang muda bekerja dalam sektor hiburan awam.

Melalui lesen ini, JTK Sabah dapat memantau syarat penggajian seperti waktu bekerja, tempoh rehat, kehadiran penjaga, serta memastikan proses pembelajaran pelakon muda tidak terjejas.

Ketua Pegawai Operasi AJ Productions, Jasnie Mohd Yaakub, berkata langkah itu selaras dengan prinsip syarikat yang mahu menyediakan persekitaran kerja yang selamat, beretika dan menyokong bakat muda dalam bidang hiburan.

“Usaha memohon lesen ini bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, tetapi sebagai penegasan bahawa hak kanak-kanak yang terlibat dalam penerbitan harus dilindungi — termasuk dari segi masa belajar, kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Pengiktirafan terhadap usaha proaktif itu disampaikan dalam Program Jabatan Tenaga Kerja Sabah Bersama Majikan Produksi Industri Seni Sabah, yang diadakan dengan kerjasama FINAS Malaysia di The Klagan Hotel, di sini.

Dalam majlis tersebut, JTK Sabah menyerahkan sijil penghargaan kepada AJ Productions melalui Timbalan Pengarah JTK Sabah, Baharuddin Mamat, disaksikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Ibrahim Baharom.

JTK Sabah turut menggesa semua syarikat produksi, penganjur acara dan majikan yang mahu mengambil pelakon atau penghibur bawah umur supaya tampil memohon lesen yang sama bagi memastikan pematuhan undang-undang buruh serta perlindungan kebajikan golongan muda.

AJ Productions menegaskan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada visi syarikat untuk mewujudkan ekosistem industri kreatif Sabah yang lebih profesional, bertanggungjawab dan mampan.

“Kami berharap tindakan ini menjadi penanda aras kepada pemain industri lain agar lebih serius terhadap aspek perlindungan pekerja bawah umur, demi kemajuan industri seni Sabah secara menyeluruh,” tambah Jasnie.

LEAVE A RESPONSE