Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Program Masterclass Vokal Telupid 2025 bantu asah bakat peserta ke arah profesional

Read Time:2 Minute, 23 Second

TELUPID: Program Masterclass Vokal Telupid 2025 anjuran MV Event & Entertainment dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah serta Fortissimo Music Studio Tuaran berlangsung dengan jayanya selama dua hari di Aisyah Homestay, Telupid, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan kesinambungan kepada Bengkel Vokal Telupid yang diadakan pada Ogos lalu, dengan fokus kali ini terhadap pengukuhan kemahiran lanjutan dalam teknik vokal, kawalan suara, keyakinan persembahan pentas secara profesional serta memahami kehendak juri dalam setiap persembahan.

Masterclass berkenaan turut menghimpunkan semula peserta berbakat yang pernah mengikuti bengkel pertama, bagi memberi peluang memperbaiki teknik nyanyian melalui sesi latihan intensif dan tunjuk ajar secara individu serta berkumpulan.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta didedahkan kepada sesi praktikal dan penjurian persembahan akhir yang dinilai berdasarkan aspek vokal, gaya persembahan, kreativiti serta penampilan.

Tenaga pengajar utama, Rhowell Rolland, turut menjadi nilai tambah kepada penganjuran kali ini. Beliau merupakan jurulatih vokal berpengalaman dan penggiat seni suara aktif dalam pelbagai platform pembangunan bakat di Sabah.

Penganjur program, Sylviana Viana Saiki @ Vie Jimmy, berkata pemilihan Rhowell dibuat berdasarkan kepakarannya bukan sahaja dalam bidang vokal tempatan, tetapi juga dalam aspek vokal moden serta persembahan pentas.

“Saya memilih dia (Rhowell) kerana kepakarannya yang luas dalam bidang vokal dan persembahan, sekaligus memberi peluang kepada peserta menerima bimbingan daripada individu berpengalaman dalam industri hiburan tempatan. Kolaborasi seperti ini sudah pun berlangsung sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Tambah Sylviana, Rhowell turut menjadi salah seorang juri bagi pertandingan Sabah Voice 2025 yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, bersama dua artis terkenal tanah air, Stacy Anam dan Akim Ahmad, baru-baru ini.

“Penglibatan beliau dalam pertandingan berprestij itu membuktikan kredibiliti serta sumbangannya dalam membantu bakat-bakat baharu di Sabah ke peringkat yang lebih profesional,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Rhowell, kru teknikal, semua peserta serta Saiki Suanti dan Sherlisa S atas sumbangan dan sokongan dalam penyediaan hadiah kepada peserta yang berjaya mendapat tempat teratas dalam penilaian akhir.

Sylviana turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai penganjur apabila buat pertama kali menyediakan makanan dan minuman sendiri untuk peserta sepanjang bengkel tersebut, dibantu oleh Aaron Duff Alfredchris.

“Kerjasama itu mewujudkan suasana yang hangat, seolah-olah sebuah keluarga yang berkumpul, belajar dan makan bersama. Ia mencipta pengalaman manis dan mengeratkan hubungan antara peserta, tenaga pengajar dan penganjur,” katanya.

Beliau turut mengumumkan keputusan akhir bengkel yang memperlihatkan semangat tinggi serta kreativiti luar biasa daripada semua peserta.

“Setiap peserta menampilkan persembahan terbaik dengan keunikan dan gaya tersendiri, namun hanya satu persembahan dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.

Persembahan terbaik dimenangi oleh pasangan duo Roger S Enty dan Florina Marcus.

Sementara itu, kategori markah tertinggi pilihan rakan peserta lain dimenangi oleh trio Cikgu Mohammad Ali Karimi, Cikgu Hildy @ Boy Albert dan Alvein Dee Albenus yang mempersembahkan lagu Stand By Me secara acapella dengan persembahan memukau dan penuh aura.

Sijil penghargaan turut disampaikan oleh Rhowell kepada semua peserta sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan kesungguhan mereka sepanjang bengkel berlangsung.

LEAVE A RESPONSE