Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

250 jentera GRS Silam siap sedia hadapi PRU Sabah

Read Time:1 Minute, 32 Second

LAHAD DATU : Seramai 250 jentera Polling Agent dan Counting Agent (PACA) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Silam hadir dalam sesi latihan dan taklimat khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).

Program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan kefahaman teknikal, disiplin, dan strategi jentera akar umbi dalam memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar serta mempertahankan kemenangan GRS di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan tersebut.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, program itu bukan sekadar sesi latihan teknikal, sebaliknya juga sebagai suntikan semangat perpaduan dan komitmen politik di bawah kepimpinan GRS Silam.

“Setiap jentera perlu bersedia dari segi strategi, kefahaman peranan serta disiplin untuk memastikan kemenangan berpihak kepada GRS di Silam,” katanya.

Majlis turut diisi dengan taklimat taktikal, simulasi tugas PACA serta amanat kepimpinan bahagian sebagai simbol kesepaduan dan kesiapsiagaan menghadapi PRN yang semakin hampir.

Sementara itu, Mizma menegaskan bahawa jentera pilihan raya GRS Silam kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum menjelang tempoh berkempen dan hari pengundian.

“Alhamdulillah, taklimat khas ini diadakan bagi memastikan jentera benar-benar bersedia 100 peratus — dari segi ilmu, etika dan disiplin ketika menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, jentera pilihan raya merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan parti di setiap peti undi.

“Dalam peperangan politik, semangat adalah senjata utama selain ilmu. Saya mahu setiap petugas kekal bersemangat dan berdisiplin, kerana semangat itulah yang akan membawa kemenangan,” ujarnya.

Mizma turut memaklumkan bahawa bagi DUN Silam, terdapat lapan PDM dengan kekuatan 256 petugas jentera pilihan raya yang telah dikenal pasti dan dilatih.

Beliau menyeru seluruh ahli serta penyokong GRS agar terus bersatu hati dan teguh bersama dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti di Silam.

Pada majlis itu, para peserta yang hadir turut melafazkan ikrar taat dan setia dengan amanah yang dipertanggungjawabkan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE