Read Time:1 Minute, 12 Second
KOTA KINABALU: Seramai 207 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal melalui program pemindahan tahanan PATI oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pemindahan tersebut dilaksanakan dari depot-depot imigresen di negeri ini, melibatkan 192 tahanan warga Indonesia dan 15 tahanan warga Filipina.
“Tahanan yang terlibat berumur antara 1 bulan hingga 63 tahun dan masing-masing diiringi oleh penjaga yang sah.
“Dalam siri pemindahan ini, seramai 134 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan yang telah selesai menjalani hukuman penjara dikeluarkan dengan dokumen perjalanan yang sah untuk dipindahkan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.
PATI yang dipindahkan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Menurut JIM Sabah, sehingga kini, seramai 1,838 orang bukan warganegara telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk di negeri ini.
Dalam pada itu, JIM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah, serta individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambah kenyataan itu.






