Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

YPNM Sabah gesa peniaga elak kartel, pencatutan sepanjang Ramadan

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa semua peniaga mengekalkan integriti dan keadilan dalam amalan perniagaan serta tidak membentuk kartel atau terlibat dalam aktiviti pencatutan sepanjang Ramadan.

Pengerusinya, David Chan menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujud tindakan bersepakat dalam kalangan peniaga untuk memanipulasi bekalan dan menaikkan harga barangan makanan asas secara tidak munasabah, khususnya makanan sejuk beku import dan tempatan.

Beliau berkata, amalan tidak beretika seperti pembentukan kartel dan pencatutan harga hanya akan membebankan pengguna, lebih-lebih lagi pada bulan puasa apabila permintaan makanan lazimnya meningkat.

“Amalan ini memberi beban yang tidak perlu kepada pengguna dan seharusnya dielakkan demi memastikan kesejahteraan rakyat sepanjang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk manipulasi harga atau kenaikan tanpa justifikasi merupakan pelanggaran serius terhadap hak pengguna serta undang-undang negara.

Katanya, tindakan penguatkuasaan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Di bawah Seksyen 14 (Peruntukan Anti-Pencatutan) akta itu, peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Beliau turut menyokong pelaksanaan Ops Pantau 2026 oleh KPDN serta menggesa pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan harga barangan kekal adil dan terkawal sepanjang Ramadan dan Hari Raya.

Selain itu, tambah David, pengguna digalakkan supaya sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang kenaikan harga mencurigakan atau amalan perniagaan tidak beretika kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Ramadan adalah bulan muhasabah, keprihatinan dan kebersamaan. Harga yang adil bukan sahaja satu kewajipan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral kepada masyarakat,” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE