Read Time:1 Minute, 31 Second
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan rekod pentadbiran Parti Warisan ketika berkuasa pada 2018 perlu dinilai semula, khususnya berkaitan reformasi undang-undang dan governan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Armizan berkata pengurangan penumpuan kuasa kepada individu atau satu pihak adalah asas tadbir urus moden, justeru banyak negara memperkenalkan had tempoh atau term limit bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, atas prinsip itu, Kerajaan GRS telah bersetuju dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Disember 2023 dan 15 Januari 2024 untuk menetapkan had tempoh Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal berturut-turut atau maksimum sepuluh tahun.
Pindaan Perlembagaan Negeri itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri selepas GRS memperoleh mandat baharu kerana memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri.
Namun, katanya, tindakan itu berbeza dengan langkah Warisan yang pada 13 Disember 2018 meluluskan pindaan Perlembagaan Sabah untuk memansuhkan had tempoh Tuan Yang Terutama (TYT). Sebelum dipinda, Artikel 2 Fasal (3) Perlembagaan Sabah menetapkan seseorang TYT hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal atau lapan tahun.
“Persoalannya, apakah keperluannya memansuhkan had tempoh TYT? Apakah manfaatnya kepada rakyat? Atau adakah ia tindakan untuk kepentingan individu tertentu?” Soalnya.
Menurut Armizan, pindaan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ADUN pada ketika itu, termasuk tanggapan bahawa ia merupakan “langkah politik, tanda terima kasih” kepada TYT.
“Ini kerana selepas PRU Negeri 2018, seorang Ketua Menteri telah pun mengangkat sumpah secara sah dan kabinet negeri dibentuk dengan sokongan tiga puluh satu kerusi, namun berlaku lompatan beberapa ADUN BN yang membawa kepada perubahan pentadbiran,” tambahnya.
Beliau berkata tindakan menerima ADUN melompat jelas bertentangan dengan pendirian moral yang sering dilaungkan Warisan.
“Berlagak suci menentang lompatan ADUN, tetapi merekalah yang memujuk dan membuka ruang lompatan demi kuasa,” katanya.
Armizan menegaskan bahawa rekod sebenar ‘Sabah Ubah’ Warisan pada 2018 ialah meminda Perlembagaan Negeri demi kepentingan kuasa parti, bukan rakyat.






