Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Warga asing didenda RM635,000 curi, agih bekalan elektrik di penempatan setinggan

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

SANDAKAN: Seorang warga asing didenda keseluruhan RM635,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat kesalahan membabitkan bekalan elektrik secara haram di sebuah penempatan setinggan.

Tertuduh, Asis Cengkeru, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Mahkamah menjatuhkan denda RM300,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua; RM5,000 atau lapan bulan penjara bagi pertuduhan ketiga serta RM30,000 atau lapan bulan penjara bagi pertuduhan keempat.

Asis gagal membayar denda dan diperintahkan menjalani hukuman penjara. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan pertama, Asis didapati membekalkan elektrik secara haram melalui sambungan terus daripada pepasangan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) kepada penduduk rumah-rumah setinggan di Kampung Pengiran Galpam, Batu 7, Jalan Labuk tanpa memiliki lesen pengagihan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati mengganggu pepasangan milik Sabah Electricity dengan membuat penyambungan haram kepada rumah-rumah setinggan sehingga boleh membahayakan nyawa, anggota badan manusia serta menyebabkan kerosakan pada pepasangan berkenaan.

Pertuduhan ketiga pula menyatakan tertuduh secara curang mengambil bekalan elektrik melalui sambungan haram ke rumahnya sehingga menyebabkan Sabah Electricity mengalami kekurangan caj dan kerugian.

Bagi pertuduhan keempat, dia didapati memasang sambungan elektrik secara haram daripada talian bawah tanah voltan rendah milik Sabah Electricity disambung terus ke rumah-rumah kediaman setinggan tanpa kelulusan bertulis daripada pemegang lesen.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 2.10 pagi, 22 April lalu di Kampung Pengiran Galpam, Batu 7, Jalan Labuk.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity, PDRM, dan beberapa agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Air Sabah, di penempatan setinggan tersebut.

Operasi ini bertujuan untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyambungan elektrik secara haram dan curang di kawasan tersebut.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryeno Thomas, yang mengendalikan pendakwaan, antara lain memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius, terancang, bermotifkan keuntungan komersial serta mengancam keselamatan awam.

Beliau berkata, siasatan mendapati tertuduh bukan sekadar mencuri bekalan elektrik untuk kegunaan sendiri, malah bertindak sebagai pembekal elektrik haram kepada kira-kira 52 rumah setinggan dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM100 sebulan bagi setiap rumah.

“Setiap pengguna elektrik yang tinggal di kawasan penempatan yang sah membayar bil elektrik mereka setiap bulan mengikut penggunaan masing-masing. Mereka memohon bekalan secara sah, memasang meter yang diluluskan dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh pihak utiliti.

“Sebaliknya, tertuduh telah menikmati bekalan elektrik tanpa membayar kepada SESB, malah menjadikan bekalan yang dicuri itu sebagai sumber pendapatan dengan mengenakan bayaran kepada puluhan rumah setinggan,” katanya sambil menambah tertuduh merupakan seorang warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen yang sah untuk berada di Sabah.

Pada Rabu, hakim yang sama turut mendenda dua warga asing dan seorang warga tempatan atas pelbagai kesalahan berkaitan bekalan elektrik secara haram di penempatan setinggan.

LINK BERITA TERDAHULU:

LEAVE A RESPONSE