Read Time:1 Minute, 47 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memperhebat usaha mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian pemasaran hasil pertanian dan penternakan, khususnya melibatkan industri ayam, bagi memastikan harga yang lebih stabil dan adil kepada pengusaha serta pengguna.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, peranan orang tengah dikenal pasti sebagai antara punca utama yang menyebabkan harga ayam tempatan menjadi lebih mahal berbanding ayam import, sekali gus menekan pengusaha tempatan dan membebankan pengguna.
Katanya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dalam masa terdekat yang melibatkan pengusaha, penternak ayam, pengimport serta pengguna bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu tersebut.
“Apabila ayam tempatan menjadi lebih mahal, pengguna cenderung memilih ayam import. Keadaan ini menyebabkan pengusaha tempatan mengadu kerana perniagaan mereka berisiko merosot jika masalah ini berterusan.

“Dalam masa yang sama, pengguna mahukan harga yang lebih murah. Di sinilah peranan orang tengah didapati memainkan pengaruh besar terhadap kenaikan harga dari peringkat pengeluar kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah di sini pada Khamis.
Jamawi menegaskan, kerajaan tidak menggunakan pendekatan keras, sebaliknya memilih untuk mengurangkan secara berperingkat peranan orang tengah dalam pemasaran hasil pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.
“Berdasarkan kepada hukum penawaran dan permintaan, kadang-kadang apabila permintaan meningkat, harga turut naik dan orang tengah mendapat keuntungan di atas angin. Keadaan inilah yang kita mahu kawal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan memperkasakan peranan Sabah Agricultural Marketing Board (SAMA) yang kini diletakkan di bawah kementerian, dengan fokus utama terhadap urusan pemasaran, pembelian dan eksport hasil-hasil pertanian serta ternakan.
“SAMA yang dihidupkan semula ini bukan seperti yang dahulu. Fungsinya lebih tertumpu kepada aspek pemasaran, termasuk pembelian dan eksport, dan akan diperkasakan dalam tempoh lima tahun bagi mengimbangi penguasaan orang tengah,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Jamawi memaklumkan bahawa tahap Sara Diri (SSL) bekalan ayam di Sabah kini telah mencapai kira-kira 95 peratus, namun masih dibayangi isu penyeludupan dan lambakan ayam import.
Katanya, jika peranan orang tengah dapat dikurangkan dan harga ayam tempatan dapat ditawarkan dengan lebih kompetitif, ia bukan sahaja membantu pengusaha tempatan, malah mampu mengekang penyeludupan serta menjamin keselamatan dan status halal makanan rakyat. – SABAH MEDIA






