Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

UMS tangguh Majlis Konvokesyen ke-27 susulan PRN Sabah

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Majllis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 yang dijadualkan berlangsung pada 29 November 2025 akan ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan malam ini, UMS memaklumkan penangguhan itu dibuat susulan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang turut dijadualkan pada tarikh sama.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tersebut diambil bagi menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti, graduan serta masyarakat umum untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pihak universiti sedang meneliti dan menyelaras tarikh baharu yang sesuai bagi memastikan majlis konvokesyen dapat dilaksanakan dalam suasana terbaik dan harmoni buat para graduan serta ahli keluarga,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.

UMS memaklumkan, maklumat terkini mengenai tarikh baharu serta atur cara Majlis Konvokesyen UMS ke-27 akan dimaklumkan secara rasmi melalui laman sesawang universiti dan platform media sosial rasmi UMS.

Selain itu, pihak UMS turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kefahaman semua pihak yang terlibat, khususnya graduan yang menantikan detik bermakna untuk menerima ijazah masing-masing.

Pada Khamis, SPR menetapkan 29 November sebagai tarikh pengundian untuk pengundi di Sabah melaksanakan tanggungjawab pada PRN17.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 15 November sehingga 28 November pada jam 11.59 malam. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

LEAVE A RESPONSE