Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghulurkan sumbangan pelbagai barangan keperluan kepada mangsa kebakaran di Kampung Numbak sebagai usaha meringankan beban penduduk yang terjejas akibat musibah berkenaan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, berkata sumbangan itu dikumpulkan hasil keprihatinan warga universiti termasuk pelajar yang tampil menyumbang pelbagai barangan keperluan untuk membantu mangsa.

Beliau berkata, usaha berkenaan digerakkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS menerusi program kutipan sumbangan yang diketuai Dekan PPIB, Profesor Datuk Dr. Ismail Ali bersama warga pusat berkenaan.

“Hari ini merupakan penyerahan sumbangan daripada warga UMS kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Numbak.

“Respon daripada warga UMS termasuk pelajar-pelajar yang telah menyumbang pelbagai barangan keperluan memang sangat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurkan simbolik penyerahan sumbangan warga UMS kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak di sini pada Jumaat.

Dr Kasim berkata, kebakaran yang berlaku di Kampung Numbak melibatkan lebih 200 rumah, sekali gus memberi kesan besar kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan barangan keperluan akibat kejadian tersebut.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan itu mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat, selain membuktikan komitmen UMS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.

Katanya, peranan universiti tidak hanya tertumpu kepada bidang pendidikan, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab kepada masyarakat khususnya ketika berdepan musibah.

“Universiti Malaysia Sabah mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, UMS sebelum ini turut menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia, Sandakan, sebagai tanda simpati dan keprihatinan terhadap masyarakat yang ditimpa musibah.

Menurutnya, penglibatan warga universiti dalam usaha kebajikan seperti itu akan terus diperkasakan bagi memastikan UMS sentiasa dekat dengan masyarakat dan dapat memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan.

Sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak itu kemudiannya diserahkan secara terus kepada masyarakat di kampung berkenaan.

Kasim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UMS, termasuk pelajar dan PPIB, atas keprihatinan serta kesediaan mereka menjayakan usaha mengumpulkan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika menyampaikan sumbangan barang keperluan berkenaan di Masjid Al Hidayah Kg. Sabang Baru Numbak, Kasim mengingatkan penduduk kampung yang terjejas agar menjadikan aspek kesihatan dan kebersihan sebagai keutamaan berikutan keadaan persekitaran selepas kejadian kebakaran.

“Kita tidak mahu anak-anak terdedah kepada penyakit, justeru kesihatan dan kebersihan sangat penting dan kita mahu kawasan ini berada dalam keadaan bersih.

“UMS akan berusaha mendapatkan khidmat doktor serta pegawai perubatan untuk melihat keperluan kesihatan penduduk di sini,” katanya.

Selain barangan keperluan asas, misi bantuan UMS turut membawa bekalan ubat-ubatan bagi membantu memenuhi keperluan awal mangsa yang terjejas. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE