KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan daripada penceramah tersohor, Ustaz Abdul Somad (UAS) di Istana Seri Kinabalu di sini pada Isnin.
Menurut Abdul Somad, kunjungan itu bertujuan menyampaikan penghargaan kepada Tun Musa serta pemimpin-pemimpin negeri atas peluang yang diberikan kepadanya untuk menyampaikan dakwah di Sabah.
“Semoga dengan usaha dakwah ini, negeri Sabah akan diberikan rahmat dan berkah agar sentiasa aman dan harmoni.
“Dalam kunjungan tadi ada juga dibincangkan untuk menyampaikan dakwah-dakwah ke kawasan kampung selain akan ke Pusat Islam di Sandakan apabila siap nanti,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat kepada Tun Musa.
Abdul Somad turut memaklumkan beliau berkunjung ke Sabah setiap tahun dan kali ini sempat menyampaikan dakwah di beberapa kawasan termasuk Kota Belud, Putatan, Lahad Datu dan Bongawan.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani.