Read Time:1 Minute, 37 Second
KOTA KINABALU: Program Cahaya Ramadan 2026 anjuran Telekom Malaysia (TM) Sabah menjadi wadah menyantuni golongan asnaf, ibu tunggal, B40 dan warga emas sempena bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik), Datuk Abdul Kassim Razali berkata, penganjuran program berkenaan bertepatan dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan termasuk membantu golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang terbaik untuk umat Islam meningkatkan amalan bersedekah serta berinfak kepada mereka yang memerlukan.

“Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, kita meraikan para asnaf dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Ia juga menjadi peluang untuk kita berinfak dan bersedekah kerana Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan barakah yang perlu kita rebut.
“Apabila kita memberikan sumbangan, ia menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan dan merupakan satu amalan yang mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cahaya Ramadan 2026 di Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Tuaran (SRIAHT), Tuaran, di sini baru-baru ini.
Pada program itu, seramai 40 pelajar asnaf menerima sumbangan zakat, manakala 120 bakul makanan diagihkan kepada golongan asnaf, keluarga B40, ibu tunggal serta penduduk setempat.
Dalam pada itu, Kassim turut menyokong inisiatif TM Sabah dan mengalu-alukan cadangan menjadikan Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Tuaran sebagai sekolah angkat TM di kawasan berkenaan.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan kerjasama antara TM, Jabatan Penerangan Sabah serta agensi berkaitan dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
Sementara itu, Pengurus Besar TM Sabah, Sahrimin Mohd Iman berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan TM yang dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Menurutnya, program yang menyasarkan golongan asnaf, anak yatim, keluarga B40, ibu tunggal dan warga emas itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,200 keluarga atau kira-kira 13,000 penerima di 12 negeri dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM320,000.






