Read Time:1 Minute, 59 Second
KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah bagi memastikan tindakan segera diambil untuk membantu penduduk yang terjejas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata masalah bekalan air susulan cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan itu perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keperluan harian penduduk.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan Rabu lalu berikutan keadaan sumber air mentah yang semakin terjejas sehingga mengganggu operasi rawatan dan pengagihan bekalan kepada pengguna.
Katanya, susulan perkara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.
“Saya membangkitkan masalah ini dalam Mesyuarat Kabinet kerana memahami kesulitan yang dihadapi penduduk Tawau, khususnya mereka yang masih berdepan gangguan bekalan air.
“Ketua Menteri turut mengarahkan supaya tindakan segera dilaksanakan bagi memastikan penduduk yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nizam berkata, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam turut memberi jaminan bahawa Pengarah JANS akan memantau keadaan semasa serta menggerakkan segala keupayaan yang tersedia bagi membantu penduduk.
Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas akibat masalah kualiti air mentah dari Sungai Tawau.
Katanya, walaupun hujan telah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai secara ketara bagi membolehkan operasi rawatan air kembali pulih sepenuhnya.
“Pemantauan terhadap keadaan sumber air mentah dan proses rawatan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Dalam keadaan sekarang, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki merupakan langkah mitigasi segera bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penghantaran bantuan air akan diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa dengan penyelarasan lebih teratur bagi memastikan kawasan terjejas mendapat perhatian.
Beliau menegaskan, gangguan bekalan air tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keperluan asas rakyat dan memberi kesan langsung kepada urusan harian isi rumah.
“Saya akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan bekalan air serta memastikan keperluan penduduk yang terjejas terus diberi perhatian.
“Keutamaan ketika ini adalah membantu meringankan beban penduduk sementara menunggu keadaan sumber air mentah dan operasi loji rawatan kembali pulih,” katanya.





