Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Timbalan Presiden STAR bersama 4 ADUN mahu keluar parti – Sabah News

KOTA KINABALU, 6 Oktober – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dilapor menyatakan hasrat meninggalkan parti itu dan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Berita Harian melaporkan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Angin yang juga ADUN Sook, mengesahkan perkara itu kepada media selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (presiden parti) sepatutnya sudah tahu tentang perkara ini.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenainya,” katanya merujuk kepada dirinya sendiri dan empat lagi ADUN, iaitu Datuk Flovia Ng (Tulid), Datuk Annuar Ayob (Liawan), Robert Tawiq (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Difahamkan Robert tidak hadir kerana kurang sihat, manakala Jeffrey berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang Parlimen.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, menegaskan bahawa mana-mana ahli parti komponen dalam gabungan itu yang mahu bertanding menggunakan logo sendiri akan diberhentikan keahlian.

Jeffrey sebelum ini menyatakan bahawa keputusannya meninggalkan GRS adalah disebabkan oleh kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Difahamkan bahawa kelima-lima ADUN STAR yang berhasrat meninggalkan parti itu akan menyertai GRS sebagai ahli terus.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.

LEAVE A RESPONSE