Read Time:1 Minute, 35 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Pemilihan Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangn Negeri (DUN) Tanjung Batu dibuat sepenuhnya atas keputusan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor, tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Batu, Datuk Saharuddin Salleh, berkata keputusan itu diterima sepenuhnya oleh bahagian serta jentera parti yang kini komited memastikan kemenangan calon GRS pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
“Calon DUN Tanjung Batu sudah diputuskan oleh Presiden Parti sendiri dan bila presiden sudah buat keputusan, kita akur dengan lapang dada.
“Kita juga akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan GRS di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saharuddin menegaskan, pemilihan Dr. Andi Mohd Shamsureezal dibuat berdasarkan penilaian serta keyakinan pucuk pimpinan terhadap kemampuannya meneruskan khidmat kepada rakyat, bukannya atas desakan atau pengaruh luar.
Katanya, walaupun pada peringkat awal terdapat segelintir jentera yang sukar menerima keputusan berkenaan, namun kini semua pihak sudah bersatu dan bersedia bekerja sepenuh tenaga sepanjang tempoh kempen.
“Memang pada mulanya ada sedikit kekeliruan dan rasa tidak puas hati, tetapi selepas penjelasan dibuat, semua pihak menerima keputusan itu dan kini bekerja dalam satu pasukan.
“Bahagian juga menyokong penuh keputusan presiden kerana kita percaya ia dibuat demi kepentingan parti dan rakyat,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa calon berkenaan tidak aktif turun padang sebelum ini, Saharuddin menafikan perkara itu sambil menjelaskan Dr. Andi Mohd Shamsureezal sememangnya dikenali ramai dan pernah bekerjasama rapat dengan kepimpinan tempatan.
“Cerita kononnya beliau tidak turun padang itu tidak benar. Kita kenal beliau dengan baik dan ramai dalam kalangan jentera pernah bekerja bersamanya sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, fokus utama kini adalah memastikan kemenangan GRS di DUN Tanjung Batu melalui kerja berpasukan dan pendekatan mesra rakyat.
“Kerja pilihan raya bukan mudah, tetapi dengan semangat, tanggungjawab dan sokongan rakyat, kita yakin mampu mengekalkan kemenangan di Tanjung Batu,” katanya.






