Read Time:1 Minute, 53 Second
PUTATAN: Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pejabat ADUN N.24 Tanjung Keramat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan akan menganjurkan program Cahaya Aidilfitri bermula 10 hingga 18 Mac ini.
Pengerusi penganjur, Mohd Ruzaini Zulkepli berkata program itu terbuka kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat sahaja dan tidak dikenakan sebarang yuran penyertaan.
Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif bersama ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, dengan pendaftaran penyertaan dibuka bermula pada Khamis sehingga 9 Mac 2026.
Menurutnya, Cahaya Aidilfitri menampilkan dua kategori pertandingan iaitu lampu pelita (susul) dan lampu berhias (colorlight).
“Untuk johan pertandingan susul, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM1500 berserta hamper, tempat kedua RM1000 berserta hamper, tempat ketiga RM800 berserta hamper manakala 12 pemenang sagu hati terpilih membawa pulang wang tunai RM200.
“Begitu juga bagi kategori lampu berhias colorlight, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM1500 berserta hamper, tempat kedua RM1000 berserta hamper, tempat ketiga RM800 berserta hamper manakala 12 pemenang sagu hati terpilih membawa pulang wang tunai RM200.
“Pemenang untuk kesemua ini akan diumumkan pada 18 Mac dan insyallah upacara penyampaian hadiah itu akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya,” katanya selepas pelancaran program Cahaya Aidilfitri Tg Keramat di Pejabat UPPM Tanjung Keramat, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; serta Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.
Ruzaini berkata kepada yang berminat menyertai, penyertaan boleh dibuat melalui Google Form atau kod QR yang disiarkan di laman sosial, hebahan media dan aplikasi WhatsApp. Terma dan syarat lanjut disertakan dalam borang Google Form berkenaan.

Mengenai aspek keselamatan, beliau berkata pihak penganjur turut mendapatkan pandangan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Bomba melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan turut menyarankan agar setiap peserta menyediakan alat pemadam api sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Tambahnya, panel juri akan membuat penilaian pada dua malam kemuncak berdasarkan beberapa kriteria termasuk kreativiti, kekemasan, keceriaan dan kebersihan.
“Program Cahaya Aidilfitri ini dianjurkan bagi menyemarakkan suasana Ramadan dan Syawal di samping menggalakkan kreativiti komuniti di DUN Tanjung Keramat.
“Selain menghidupkan kembali budaya pemasangan lampu pelita tradisional, program ini juga diharap dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.






