Read Time:1 Minute, 41 Second
SHAH ALAM: Empat pingat perak berjaya diraih kontinjen Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini menerusi acara angkat berat dan olahraga.
Pencapaian membanggakan itu menyaksikan atlet-atlet negeri mempamerkan semangat juang tinggi serta prestasi konsisten dalam usaha mengharumkan nama Sabah di pentas temasya sukan terbesar negara itu.
Dalam acara angkat berat yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka MPKL, atlet muda Sabah, Henry Stephene Gampion, menghadiahkan pingat perak menerusi kategori lelaki bawah 88 kilogram (kg).
Atlet berusia 20 tahun dari Tambunan itu memulakan saingan dengan cemerlang apabila berjaya melakukan angkatan 115kg dalam disiplin snatch sebelum meneruskan aksi mantap dalam disiplin clean and jerk dengan angkatan 160kg.
Gabungan kedua-dua disiplin itu membolehkan Henry mengumpul jumlah keseluruhan 275kg sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua dan meraih pingat perak buat kontinjen Sabah.
Perjuangan skuad angkat berat Sabah bagaimanapun belum berakhir apabila dua lagi atlet negeri, Nurul Atiqah Albort Ten dalam kategori wanita bawah 77kg dan Harry Belugun Lamen bagi kategori lelaki bawah 94kg, turut dijadualkan beraksi dalam final masing-masing.
Sementara itu, di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, kem olahraga Sabah turut menyumbang tiga lagi pingat perak menerusi acara padang.
Dalam acara baling tukul besi lelaki, Nabil Faiz Ayub muncul naib juara selepas mencatatkan balingan sejauh 49.63 meter.
Pingat emas dimenangi atlet Perlis, Muhammad Dzulfikri Abu Dza dengan catatan 50.32 meter, manakala gangsa menjadi milik Daniel Lau Hang Jung dari Sarawak yang merekodkan 48.89 meter.
Bagi acara lompat tinggi wanita, Ku Yee Aleng turut menyumbangkan pingat perak selepas berjaya melepasi ketinggian 1.66 meter.
Pingat emas dimenangi Nur Sabrina Najwa dari Johor dengan lompatan 1.72 meter, sementara Chloe Then Shiang Yee dari Sarawak meraih gangsa menerusi catatan 1.62 meter.
Dalam acara rejam lembing wanita pula, Morra Jane Delovevy Jairon memastikan satu lagi pingat perak buat Sabah apabila mencatatkan rejaman sejauh 36.48 meter.
Pingat emas dimenangi Noor Aliya dari Terengganu dengan catatan 38.04 meter, manakala atlet Johor, Xuan Lim membawa pulang gangsa selepas merekodkan 36.35 meter. – SABAH MEDIA






