KOTA KINABALU: Sebanyak 17 pingat emas akan menjadi rebutan atlet pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang akan dibuka secara rasmi esok.
Daripada jumlah tersebut, Taekwondo menawarkan jumlah pingat emas tertinggi iaitu enam pingat, diikuti Judo dengan lima pingat emas.
Turut menawarkan pingat pada hari berkenaan ialah acara Berbasikal Bukit, Bola Tampar Pantai dan Gimnastik Berirama (Gimrama), yang masing-masing menyediakan dua pingat emas untuk direbut.
Bagi kontinjen Sabah, tumpuan utama terarah kepada acara Berbasikal Bukit yang dilihat berpotensi menyumbang pingat emas kepada negeri itu berdasarkan prestasi semasa atlet-atlet yang diturunkan.
Antara atlet yang berpotensi membawa pulang pingat adalah Akmal Thaqif Begurdy dan Restyfiona Rizal menerusi acara Cross Country Olympic lelaki dan wanita.
Selain itu, Sabah turut menaruh harapan kepada atlet Judo, Nadher Chan Yie bagi kategori 66 kilogram lelaki.
Majlis perasmian SUKMA Selangor dijadual akan berlangsung esok di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. – SABAH MEDIA






