Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

STAR sokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik Sabah


Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) secara rasmi menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan negeri yang dipimpin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, ia merupakan satu langkah terbaik demi memastikan kestabilan politik di Sabah.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira “kehendak majoriti” ahli parti serta ketua-ketua bahagian yang mahukan Sabah mempunyai kerajaan yang stabil selepas pilihan raya.

Menurutnya, meskipun GRS muncul sebagai gabungan terbesar, ia tidak memiliki kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri, justeru cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dianggap pilihan paling rasional pada ketika itu.

“GRS mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, yang juga menjadi kehendak STAR.

“Oleh itu, adalah wajar untuk menyokong kerajaan perpaduan ini. Lagipun, pilihan raya sudah selesai dan kini tiba masanya untuk berkhidmat untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jeffrey menegaskan sokongan tersebut tidak bermakna STAR mengubah haluan politik atau meninggalkan perjuangan asalnya, terutama dalam memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“STAR sentiasa konsisten dalam perjuangannya, sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sokongan kepada kerajaan perpaduan hanyalah untuk membantu pembentukan kerajaan, bukannya menyertai GRS sepenuhnya sebagai komponen rasmi.

“Kita bukan duduk dalam GRS. Kita bantu GRS tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17 sebab itulah yang rakyat inginkan berpandukan kepada keputusan pilihan raya,” katanya lagi.

Pada masa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu iaitu, Datuk Ishak Ayub dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan Sabah.  SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE