Read Time:1 Minute, 4 Second
KOTA KINABALU : Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan cubaan penipuan yang semakin berleluasa menggunakan nama agensi itu bagi menawarkan bantuan kewangan dan geran palsu.
Ketua Pegawai Penyelaras SSMJ Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata, terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai wakil SSMJ dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp, mesej peribadi serta saluran tidak rasmi lain bagi memperdaya orang ramai.
Katanya, pihaknya tidak pernah menyalurkan sebarang bentuk bantuan kewangan, geran mahupun skim khas secara individu, dan semua maklumat rasmi hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau portal rasmi SSMJ.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan mesej yang mencurigakan dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau membuat transaksi kepada pihak yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya turut menggesa mereka yang menerima mesej sedemikian agar segera membuat laporan kepada pihak polis, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, pihaknya turut menasihati masyarakat untuk sentiasa merujuk laman web rasmi atau platform media sosial SSMJ bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.
“Kami berharap orang ramai lebih berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang cuba mencemarkan nama baik inisiatif pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ). – SABAH MEDIA






