KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM16,000 sebagai balasan meluluskan kerja-kerja pembaikan di bawah seliaan syarikat berkenaan.
Menurut sumber, lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan pada jam 4 petang kelmarin ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024. Wang suapan dipercayai diterima melalui transaksi berperingkat ke akaun bank milik suspek,” katanya.
Transaksi tersebut dipercayai sebagai ganjaran kepada kontraktor untuk mendapatkan projek membaik pulih di bawah GLC tersebut yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Sabah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, iaitu meminta atau menerima suapan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu tindakan berkaitan jawatan rasmi.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ringkas.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.