Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memperkukuh integriti serta ketelusan dalam pengurusan agihan zakat di negeri ini.
Antara syor utama yang dikemukakan termasuk menambah baik Perkara 5.3.1 dan 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan takrifan “individu” sebagai kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah, manakala “organisasi” merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.
Cadangan lain turut menekankan keperluan menambah bahagian yang terlibat secara langsung dalam urusan pungutan, agihan serta pengurusan kewangan zakat agar tanggungjawab dan akauntabiliti lebih jelas.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, berkata antara syor penting ialah menetapkan had nilai perbelanjaan yang munasabah dan perlu mendapat pertimbangan serta kelulusan Majlis Tertinggi MUIS sebelum sebarang keputusan kewangan dibuat.
“SPRM Sabah telah mengenal pasti sembilan penambahbaikan melibatkan aspek amalan, sistem dan tatacara kerja dalam pengurusan agihan zakat. Langkah ini bertujuan memastikan dana zakat disalurkan secara telus dan menepati tujuan sebenar,” katanya.
Syor-syor berkenaan dibentangkan dalam satu sesi penyerahan Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang diadakan di pejabat MUIS pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali, menyambut baik cadangan tersebut dan berikrar untuk melaksanakan penambahbaikan yang disyorkan.
“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana membantu MUIS menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.
“Syor ini akan dijadikan panduan dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan zakat di Sabah,” katanya.
Penambahbaikan ini dijangka akan memperkukuh sistem tatakelola MUIS, sekaligus memastikan setiap sen dana zakat diurus dengan penuh amanah dan bertanggungjawab demi manfaat umat Islam di negeri ini.






