Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sokongan meningkat, GRS yakin bentuk kerajaan esok malam – Hajiji

Read Time:1 Minute, 25 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yakin gabungan itu akan memperoleh mandat kukuh untuk menubuhkan kerajaan baharu seawal esok malam berdasarkan tanda-tanda sokongan yang semakin meningkat sepanjang kempen sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 ini. .

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis di perkarangan kediaman Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, Sri Rimbawang, Kampung Sungai Padang, di sini, hari ini.

Pada siri jelajah kempen tersebut, Hajiji mengingatkan pengundi Pantai Manis supaya keluar beramai-ramai dan memilih calon GRS demi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.

“Saya minta rakyat dan para pengundi keluar beramai-ramai pada esok hari (29 Nov) menyokong calon GRS. Kita mahu menang di Pantai Manis kerana hanya calon daripada kerajaan mampu membawa kemajuan ke kawasan ini,” katanya.

Menurut beliau, calon pembangkang tidak mempunyai keupayaan untuk menyalurkan pembangunan atau melaksanakan projek yang diperlukan rakyat di peringkat akar umbi.

“Jadi walau apa pun, saya yakin Pantai Manis boleh dimenangi oleh calon kita daripada GRS,” ujarnya.

Mengulas peluang keseluruhan gabungan itu pada pilihan raya kali ini, Hajiji optimis bahawa GRS berada pada landasan terbaik untuk kembali menerajui tampuk pentadbiran negeri.

“Secara keseluruhan, insya-Allah kita akan menubuhkan kerajaan esok malam,” katanya.

Selain Calon GRS bagi kerusi DUN Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir, calon lain yang bertanding di DUN itu ialah Aidi Moktar dari Parti Warisan (Warisan); Redzuan Ismail @ Gari dari Barisan Nasional (BN); Richard Vitales dari Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STARSabah); Faizal Julaili dari Perikatan Nasional (PN); Datu Mohamad Tamin dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM); dan Mohamad Azzmi Ahmad dari Parti Impian Sabah (PIS).

LEAVE A RESPONSE