Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

‘Sogit’ dikenakan ke atas Datuk ganggu isteri orang dibatalkan

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan Anak Negeri Sabah menolak rayuan seorang Datuk yang mahu mengembalikan perintah ‘sogit’ (denda adat) tiga ekor kerbau dan RM3,000 terhadap seorang pegawai kanan kerajaan kerana mengganggu isterinya.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan kedua-dua keputusan Mahkamah Anak Negeri Daerah Papar serta Mahkamah Anak Negeri Papar atas alasan berlakunya ketidakaturan prosedur.

Pada 23 Oktober 2024, Mahkamah Anak Negeri Papar telah memerintahkan seorang pegawai kanan kerajaan (responden) membayar ‘sogit’ kepada perayu, kerana menganggu isterinya.

Namun, pada 17 Disember 2024, keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Daerah Anak Negeri Papar selepas rayuan responden untuk membatalkan keputusan perintah sogit dibenarkan oleh mahkamah.

Susulan itu, perayu menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Anak Negeri Sabah agar keputusan Mahkamah Anak Negeri Papar sebelum ini dikembalikan.

Dalam meneliti merit kes, Mahkamah Rayuan Anak Negeri mendapati beberapa pertuduhan telah dikemukakan oleh perayu terhadap responden, antaranya ialah hubungan sulit, mengganggu isteri orang, dan “mianu-anu” (zina).

Bagi pertuduhan zina atau “mianu-anu”, mahkamah menilai sama ada bukti yang dikemukakan mencukupi untuk menyokong pertuduhan tersebut.

Mahkamah mendapati bahawa tiada keterangan lisan yang direkodkan dengan sewajarnya dan tiada nota rasmi prosiding disediakan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Amalan dan Tatacara) 1995.

Mahkamah juga mendapati bahawa walaupun terdapat gambar dan mesej yang menunjukkan tahap keakraban antara responden dan isteri perayu, ia tidak mencukupi untuk membuktikan perbuatan “mianu-anu” sebagaimana yang ditakrifkan di bawah undang-undang.

Perayu diwakili oleh peguam Jecky Lettong dan Isaiah Majinbon, manakala responden diwakili oleh peguam Mark Sitiwin dan Beverley Ramona Tan.

Dalam satu kenyataan, Isaiah berkata anak guamnya menerima keputusan mahkamah namun menegaskan kes ini membawa implikasi yang lebih mendalam terhadap hala tuju masa hadapan perundangan adat di Sabah serta cara adat itu sendiri difahami dan ditafsirkan.

“Keputusan ini turut menimbulkan persoalan tentang bagaimana adat berkaitan “mianu-anu” dan perbuatan menggangu isteri orang harus ditafsirkan selepas ini. Dalam adat Kadazan-Dusun, konsep mianu-anu dan perbuatan menggangu meliputi pelbagai bentuk tingkah laku yang mencemar kehormatan rumah tangga serta menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

“Sentuhan fizikal terhadap isteri orang lain tanpa keizinan juga dianggap sebagai kesalahan moral dan pelanggaran adat yang menuntut sogit. Tujuan sogit pada asasnya bersifat restoratif iaitu untuk memulihkan keseimbangan dan keharmonian dalam masyarakat, bukan untuk menghukum pihak yang bersalah semata-mata,” katanya.

LEAVE A RESPONSE