Read Time:1 Minute, 37 Second
PUTATAN: Golongan peniaga di Putatan, khususnya di Tanjung Keramat, digesa memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif ekonomi yang disediakan kerajaan bagi memperkukuh rantaian ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkata penjaja, peniaga kecil dan usahawan perlu sentiasa peka terhadap saluran sokongan yang disediakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, golongan peniaga perlu lebih proaktif merebut peluang yang disediakan kerajaan, terutama melalui inisiatif di bawah Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), bagi memperkukuh perniagaan mereka.
“Banyak sebenarnya pelan-pelan yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuklah baru-baru ini SMJ 2.0 yang mana terdapat inisiatif bakal dilaksana bagi membantu golongan peniaga.
“Ini termasuklah inisiatif SME-UP, pembangunan modal insan dan lain-lain.
“Bagi kami di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, hasrat memperkasa golongan peniaga dan usahawan ini memang termasuk dalam meja ekonomi Tg Keramat yang mana kita akan sentiasa membantu sebagai pemudah cara masyarakat setempat dengan agensi atau jabatan kerajaan yang selaras dengan pembiayaan, pemula demi memperkukuh rantaian ekonomi di peringkat DUN kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Program Bubur Lambuk Ukhwah Ramadan Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) dengan Kerjasama Sahabat Blok Petagas di Masjid Al-Mahabah, Kg Muhibbah, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama adalah Pengurus Cawangan Kanan Angkatan Ikrar Malaysia (AIM) Cawangan Kota Kinabalu; Adzam Supri, Pengerusi KUSIKK; Wan Raizah Matsah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat; Syed Arizal Karim.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Shah Alfie berkata selain mengimarahkan Ramadan, penganjuran program seumpama itu mampu mengukuhkan jaringan kerjasama antara masyarakat, usahawan dan agensi berkaitan.
“Apa yang dilaksanakan ini sememangnya baik di samping menunaikan tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.
“Kita berharap ia dapat diteruskan lagi di masa akan datang bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan lain sebagai usaha memperkenalkan kelab dan program diusahakan pihak penganjur seperti AIM dan KUSIKK ini, “katanya.






