Read Time:1 Minute, 21 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Isu sekolah daif di Sabah khususnya di luar bandar yang dilihat masih jauh ketinggalan dari segi prasarana akan diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan murid dan guru sentiasa terjamin.
Menteri Pendidikan,Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, ini termasuklah memperjuangkan dan membangunkan sekolah-sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh Sabah.
Katanya, sekolah-sekolah terlibat memerlukan perhatian segera kerana melibatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kelangsungan proses pembelajaran murid serta kesejahteraan warga pendidik.
“Sekolah daif bukan sekadar isu bangunan. Ia adalah isu maruah pendidikan, keselamatan murid dan guru, serta keadilan sosial. Kita komited untuk menjadi suara tegas di peringkat negeri dan Persekutuan selain menyediakan data yang tepat dan terkini.

“Selain itu, kita juga akan memastikan setiap projek pembaikan dan pembinaan dilaksanakan dengan berintegriti, telus dan berimpak tinggi.
“Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk terus memperjuangkan dan membangunkan sekolah-sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Amanat Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Hadir sama Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Jordan Jude Ellron.
James berkata, Kementeriannya akan memastikan isu itu diangkat secara konsisten di peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, ini termasuklah menerusi data yang tepat serta pelaksanaan projek yang berfokus, berintegriti dan berimpak tinggi, demi menjamin hak pendidikan yang selamat dan bermaruah untuk setiap anak Sabah.
“Di Sabah, sebanyak lebih kurang 300 buah sekolah daif dan InsyaAllah dalam tahun ini kita akan menaik taraf sekolah yang terlibat.
” Namun saya ingin menegaskan tanggungjawab kita bukan hanya melaporkan masalah, tetapi memastikan penyelesaian dilaksanakan secara berkesan,” katanya. – SABAH MEDIA






