Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Perpaduan, keharmonian dan kematangan masyarakat berbilang kaum terus menjadi ciri utama kehidupan sosial di Sabah.
Suasana itu jelas terserlah menerusi sambutan Krismas 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 16 Disember lalu di Padang Merdeka di sini, dengan kehadiran ribuan pengunjung daripada pelbagai kaum.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sambutan yang kini memasuki tahun ke-20 itu telah berkembang menjadi lambang perpaduan, jambatan persaudaraan dan manifestasi keharmonian rakyat Sabah.
“Sabah Christmas Celebration 2025 menandakan keterbukaan semangat inklusif dan penyertaan semua lapisan masyarakat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang kesejahteraan sosial, perpaduan rakyat dan kelestarian alam.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan perpaduan rakyat kekal utuh bagi membawa lebih banyak pembangunan,” katanya semasa Majlis Penutupan sambutan berkenaan di Padang Merdeka,di sini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Selain itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum demi menjayakan visi serta misi pembangunan yang direncanakan kerajaan negeri.
“Sabah mempunyai rakyat daripada pelbagai etnik, bahasa dan kepercayaan agama yang hidup bersama secara harmoni. Keadaan ini melambangkan perpaduan kolektif yang menekankan keharmonian, toleransi dan persefahaman antara kaum.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan semua budaya dan perayaan kaum serta agama dihormati selari dengan semangat keharmonian dan kepelbagaian di Sabah, termasuk menyediakan peruntukan bagi meraikan kepelbagaian tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri termasuk tumpuan kepada aspek pendidikan serta pembangunan modal insan.
Untuk rekod, sepanjang 19 tahun sambutan ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC), dan pada tahun ini ia telah diangkat ke peringkat negeri.






