Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Datuk Samad Jambri, menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) nanti.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini ialah memantapkan kesiapsiagaan jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di semua peringkat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.
“Saya bersiap sedia untuk mempertahankan kerusi DUN Labuk, namun kita tunggu apa juga keputusan dan pengumuman daripada pucuk pimpinan, khususnya pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Samad menjelaskan bahawa jentera GRS di kawasan Labuk telah digerakkan lebih awal dengan penyelarasan rapi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar, sistematik dan berstrategi.
“Apa yang penting sekarang, jentera sudah siap siaga. Semua pasukan di setiap PDM telah menyusun jadual kempen dengan teratur dan berfokus. Kita tidak menunggu saat akhir, kita sudah mula bergerak,” katanya.
Beliau yakin, semangat perpaduan dan disiplin tinggi dalam kalangan jentera bukan sahaja menjadi kekuatan utama GRS menghadapi PRN17, tetapi juga membakar semangat perjuangan, merapatkan saf kepimpinan serta menyatukan seluruh penyokong di bawah panji GRS.
Pada Ahad lalu, Hajiji mengesahkan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu bagi telah mencapai kata sepakat, dan hanya tinggal satu atau dua kerusi yang masih dalam perbincangan kecil sebelum diumumkan secara rasmi.
Enam parti yang kekal bersama GRS sehingga kini adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November nanti sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa.