Read Time:1 Minute, 12 Second
Oleh J Evachel John
BELURAN: Penyandang kerusi DUN Labuk, Datuk Samad Jambri, menegaskan komitmennya untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan di kawasan itu.
Beliau berkata, usaha yang telah dimulakan tidak seharusnya terhenti separuh jalan, dan kesinambungan projek pembangunan adalah kunci bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai penduduk.
Menurut calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, keputusan akhir berada di tangan pengundi.
“Saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk mengundi saya. Tetapi jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17, apa yang telah dimulakan akan diteruskan, dan segala kekurangan akan diperbaiki. Labuk sentiasa dekat di hati saya,” katanya.
Sepanjang penggal lalu, pelbagai pembaharuan telah berjaya dilaksanakan, termasuk pembangunan infrastruktur asas dan program ekonomi komuniti. Namun, Samad mengakui ada rancangan yang masih belum terlaksana sepenuhnya akibat kekangan dan cabaran tertentu.

Bagi PRU Sabah kali ini, Samad membentangkan manifesto yang berasaskan empat indikator utama: ekonomi, infrastruktur, pembangunan belia & sukan, serta pembangunan modal insan.
Sembilan strategi pelaksanaan turut digariskan dengan pendekatan yang lebih realistik dan bersasar.
Samad yang berdepan saingan lapan penjuru pada PRU Sabah menegaskan manifesto ini bukan sekadar senarai janji, tetapi rangka tindakan yang disusun untuk memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.
“Setiap strategi ini dirangka supaya penduduk mendapat peluang sebenar ekonomi yang lebih kukuh, kemudahan yang lebih baik, dan generasi muda yang lebih bersedia memimpin masa depan,” katanya.
Labuk merupakan salah sebuah DUN di Parlimen Beluran, selain dua DUN lagi ialah Telupid dan Sugut.






