Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah perkasa modal insan melalui bantuan pendidikan, biasiswa

Read Time:1 Minute, 50 Second

RANAU: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh pembangunan modal insan dengan memastikan setiap anak di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan sebagai asas melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan, biasiswa, bantuan khas kepada mahasiswa Sabah serta program pembangunan modal insan dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Irsyadiah Ranau 2025, di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Johari Suhaimin.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, Sabah memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing bagi menjadi pemacu pembangunan negeri serta aset penting dalam membentuk masa depan Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SMA Al-Irsyadiah Ranau atas pencapaian cemerlang sekolah berkenaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Katanya, sekolah itu muncul sebagai sekolah agama luar bandar terbaik di Sabah bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) selepas mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.87.

Lebih membanggakan, SMA Al-Irsyadiah Ranau turut menduduki tempat ke-11 peringkat kebangsaan dan menjadi satu-satunya sekolah agama di Sabah yang tersenarai dalam kelompok 30 sekolah agama luar bandar terbaik di Malaysia berdasarkan keputusan SPM 2025.

Masidi berkata, kejayaan itu membuktikan kecemerlangan mampu dicapai walaupun sekolah beroperasi di kawasan luar bandar, hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru serta ibu bapa dan penjaga yang disifatkan memainkan peranan penting dalam membimbing, mendidik dan membentuk sahsiah pelajar sehingga berjaya mencapai keputusan membanggakan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah atas kejayaan yang dicapai hasil usaha, disiplin dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.

“Teruskan berusaha dan jangan cepat berpuas hati kerana kecemerlangan hari ini merupakan asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE