Sabah Mendahului Usaha Pemuliharaan Alam Sekitar dan Ketahanan Terhadap Perubahan Iklim – Sabah News
SEMPORNA: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kelulusan Enakmen Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini telah meletakkan Sabah sebagai peneraju negara dalam tindakan pemuliharaan alam sekitar dan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Beliau berkata pelaksanaan Enakmen tersebut akan memastikan penglibatan komuniti Sabah serta melindungi hak mereka melalui prosedur Keizinan Termaklum Awal.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah komited dalam usaha melindungi dan memulihara sumber asli, biodiversiti dan ekosistem negeri ini,” katanya semasa sambutan Hari Biodiversiti Sedunia di Dewan Arena Belia, di sini hari ini.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata tema sambutan tahun ini, “Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Lestari”, sangat bermakna kerana menekankan peranan penting kedua- dua elemen dalam memelihara kesihatan planet, meningkatkan kesejahteraan manusia dan memastikan masa depan yang mampan.
“Tema ini juga amat bersesuaian dan menjadi peringatan kepada seluruh manusia, khususnya rakyat Sabah, agar tidak leka dalam melaksanakan aktiviti pembangunan tanpa mengambil kira kelestarian biodiversiti, kesejahteraan haiwan, tumbuhan dan ekosistem yang memberi manfaat kepada kehidupan kita,” katanya.
“Dengan memastikan alam semula jadi dilindungi dan dihargai, kita bukan sahaja melindungi biodiversiti, malah menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial untuk generasi kini dan akan datang.
“Konsep ini juga selari dengan matlamat global Sustainable Development Goals (SDGs) serta Strategi Biodiversiti Sabah 2024–2034. Pada masa yang sama, sambutan dan tema hari ini turut mencerminkan aspirasi Halatuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) Pada masa yang sama, sambutan dan tema pada hari ini juga merupakan satu aspirasi kepada Halatuju Sabah Maju Jaya yang mana tunjang utama adalah melestarikan amalan hijau dan menyokong pembangunan mampan,” ujarnya lagi.
Hajiji turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia yang sedang giat melaksanakan konsep Ekonomi Biru di bawah agenda Hala Tuju Pembangunan SMJ.
Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri Sabah melihat potensi untuk melaksanakan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di perairan Tawau sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, katanya.
“Selain itu Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedang giat melaksanakan Projek Pemetaan Rumput Laut di seluruh Sabah. Syabas!” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa selaras dengan fokus untuk meneroka, mempromosikan dan menyokong Ekonomi Biru, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa aktiviti pelancongan di Semporna adalah terkawal dan tidak mengganggu biodiversiti marin tetapi pada masa yang sama memberikan faedah dan manfaat kepada rakyat Sabah.
Namun begitu, beliau berkata usaha pemuliharaan memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, komuniti setempat dan seluruh rakyat Sabah.
“Saya menyeru agar kita terus melindungi kekayaan semula jadi Sabah agar generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati manfaat dan faedah daripada sumber- sumber semula jadi ini,” katanya.
Beliau menambah, bagi pihak Kerajaan Negeri ia akan terus melaksanakan program pembangunan yang menekankan kelestarian hijau dengan memberi keutamaan kepada penggunaan dan pengurusan sumber semula jadi secara bertanggungjawab, serta memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi terpelihara untuk generasi akan datang.