Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah mahu kawalan keselamatan maritim Kudat diperkukuh

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat, khususnya perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri mengenai keperluan menambah anggota keselamatan di perairan Kudat dan beliau memberikan respons yang baik.

“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji berkata, keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan dalam Belanjawan 2027 turut merangkumi usaha memperkukuh kawalan sempadan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani dengan berkesan.

“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan berhampiran sempadan Indonesia.

“Saya meminta agensi berkaitan menyelaraskan perkongsian maklumat mengenai kualiti udara dan amaran cuaca, selain memantau perkembangan jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.

Hajiji merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berkaitan pengurusan isu jerebu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, perkembangan itu menjadi peringatan bahawa isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.

LEAVE A RESPONSE