Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG : Sabah melakar sejarah dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila projek solar terapung pertama di negeri ini dengan kapasiti 13.21 MegaWatt (MW) dilancarkan di Empangan Babagon di sini.
Projek seliaan Syarikat konsesi air Jetama Sdn Bhd itu mempunyai keluasan permukaan air seluas 220 ekar yang merupakan pertama dilaksanakan di atas badan air empangan di negeri ini, dan yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi konsep ‘floating solar on potable water’

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain projek di Empangan Babagon, projek solar berkapasiti 15MW di Batu Sapi, Sandakan juga dijangka mampu menstabilkan bekalan elektrik khususnya di kawasan Pantai Timur.
“Jika digabungkan kedua-dua projek ini, ianya dijangka akan menjana keseluruhan 28.2MW tenaga elektrik baharu sekali gus membantu menstabilkan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur yang sering berdepan isu penjanaan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan dua projek utama Jetama dalam sektor tenaga boleh baharu di Empangan Babagon di sini pada Rabu.
Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan Datuk Sr. Mohd Ishak Datuk Ayub dan Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif solar terapung di Empangan Babagon itu merupakan percubaan sulung di negeri ini dan menjadi projek perintis yang membuka laluan kepada lebih banyak pelaburan tenaga hijau pada masa hadapan.
“Walaupun kapasiti 13.21MW ini dianggap kecil dari sudut perniagaan, ia sangat penting sebagai langkah permulaan.

“Kejayaan projek ini amat bergantung kepada pengurusan dan tadbir urus yang baik kerana kos pembangunannya tinggi dan cabaran keuntungan adalah nyata,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap, Masidi berkata, syarikat tenaga milik kerajaan perlu ditransformasikan dan diurus sepenuhnya mengikut prinsip pengurusan korporat sebenar, bukan lagi bergantung kepada pendekatan pentadbiran sektor awam semata-mata.
Katanya, kejayaan syarikat tenaga kini banyak bergantung kepada kecekapan pengurusan, tadbir urus yang baik serta keupayaan menjana keuntungan secara mampan.
“Dalam kerajaan, apabila dana tidak mencukupi, peruntukan tambahan boleh dipohon. Tetapi dalam syarikat, jika gagal menjana pendapatan dan menanggung kos tetap, syarikat boleh ditutup,” katanya. – SABAH MEDIA






