Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak.
“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya ketika memerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.
Katanya, ConocoPhillips, memberikan tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia.
“Kami bangga kerana dapat bersama-sama untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang amat cerah kepada Sabah”, katanya yang kali pertama melawat Sabah.
ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah, selepas Petronas memindahkan pengendalian itu kepadanya pada 21 Januari 2025, menjadikannya pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas tersebut.






